Minggu, 29 Desember 2013


Setelah lebih kurang 10 tahun tidak mengadakan persembahan di Malaysia, aktor kacak filem Hindi, Dato’ Shah Rukh Khan bakal menggegarkan Stadium Nasional Bukit Jalil dengan gimik persembahan yang memukau di konsert Temptations Reloaded pada 11 Oktober ini.

Menurut pengasas Hitman Solutions Sdn Bhd, Rohit Rampal yang merupakan salah satu penganjur konsert ini, Shah Rukh Khan sememangnya kaya dengan idea-idea gimik bagi menjadikan konsert tersebut selalu diingati oleh peminat-peminatnya.

“Kami menjangkakan gimik persembahan yang hebat daripada Shah Rukh Khan memandangkan beliau seorang yang kreatif dan bijak dalam menggunakan pentas,” katanya di majlis sidang media Konsert Temptations Reloaded pada Selasa.

Konsert yang bakal berlangsung selama tiga jam ini bukanlah seperti konsert biasa di mana artis hanya menyanyi atau menari. Sebaliknya, konsert Temptations Reloaded yang julung-julung kali diadakan di Malaysia ini ibarat menonton filem Hindi secara langsung di atas pentas.

“Segalanya telah dirancang lebih awal termasuk skrip dan juga jalan cerita. Ia bukan sekadar konsert, tetapi sebuah persembahan yang sangat menarik,” kata Rohit.

Selain Shah Rukh Khan, aktres cantik Madhuri Dixit dan penyanyi hiphop Yo! Yo! Honey Singh serta beberapa lagi selebriti lain akan turut memeriahkan konsert Temptations Reloaded.

Temptations Reloaded merupakan sebuah konsert jelajah yang sudah bertapak sejak tahun 2004. Sebanyak 45 bandar telah dijelajahi termasuk bandar-bandar di Amerika Syarikat, United Kingdom dan Canada.

Jelas Rohit, pada tahun ini Malaysia dipilih sebagai lokasi konsert jelajah ini kerana Malaysia merupakan antara negara membangun di rantau Asia Tenggara.

Preety Zinta, Rani Mukherjee, Kareena Kapoor, Saif Ali Khan dan Priyanka Chopra merupakan antara selebriti yang pernah menjadi sebahagian daripada Temptations Reloaded.

Bagi peminat filem Hindi, amnya dan peminat Shah Rukh Khan, khususnya, jangan lepaskan peluang menonton konsert ini yang dianjurkan dengan kerjasama dua syarikat, Hitman Solutions Sdn Bhd dan 2Spicy Entertainment Sdn Bhd.

Tiket boleh didapati di www.vip.my dan di Rock Corner Outlet mulai 25 Ogos. Tiket berharga RM1999 sehingga RM99. – Gua

Categories: , , , , , ,

0 komentar:

Posting Komentar

Subscribe to RSS Feed Follow me on Twitter!